Text bergerak

Untuk Pelawat Baru, Sila ke Facebook Ustazah Ani untuk membincang sekiranya tiada maklumbalas di ruangan Blog ini Terima Kasih.

Wednesday 24 October 2012

Hukum Melakukan Korban bagi orang yg Hidup/mati











 Permasalah korban masih bermain-main dalam fikiran kita. Ramai yang masih keliru untk turut sama melakukan korban bagi pihak orang lain. Marilah kita menyingkap ,maksud dn hukum melakukan korban bagi org yang hidup dan juga bagi pihak ahli keluarga yang sudah meninggal.

Korban Bagi Orang Yang Hidup 

Tidak harus melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup dan tidak sah korban tersebut  jika dilakukan kecuali dengan ada keizinan daripada orang tersebut. Ini kerana korban itu adalah suatu ibadah dan melakukan ibadah untuk orang lain adalah ditegah kecuali jika ada dalil yang mengharuskan  untuk berbuat sedemikian. Dalam perkara ibadah korban, adanya keizinan adalah syarat yang mengharuskan seseorang itu melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup. 

Berbeza halnya dengan beberapa keadaan berikut:

i. Wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban dengan kos perbelanjaan dikeluarkan daripada hartanya untuk orang-orang  yang di bawah jagaannya seperti anak atau cucunya yang masih kecil. Dalam keadaan ini, contohnya jika bapa melakukan korban untuk anaknya, maka sah korban untuk anak tersebut, sementara si bapa pula memperolehi pahala hibah (pemberian). 

Walau bagaimanapun tidak sah korban yang dilakukan untuk anak yang masih dalam kandungan. Ini kerana belum ada apa-apa tuntutan syara‘ yang dikenakan ke atasnya. 

ii. Jika salah seorang daripada ahli keluarga dalam sebuah rumah melakukan korban untuk dirinya sudah dianggap melepaskan tanggungan sunat  kifayah keluarga tersebut walaupun tanpa ada keizinan daripada ahli keluarga yang lain atau tanpa ada niat mereka untuk melakukan korban. 

iii. Harus bagi pemimpin atau  ketua melakukan korban bagi orang-orang Islam di bawahnya daripada harta Baitul Mal (jika ada kelebihan pada harta tersebut) dengan menyembelih badanah (unta atau lembu yang  gemuk). Jika tidak mampu menyembelih  badanah maka dengan seekor kambing biri-biri. Walau bagaimanapun dengan  sembelihan ini tidak menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam yang berkemampuan kerana apa yang diperolehi daripada sembelihan pemimpin atau ketua itu adalah perolehan pahala semata-mata bagi orang-orang Islam. 

Daging daripada sembelihan ini juga boleh dimakan oleh orang-orang Islam termasuk orang-orang kaya kerana sembelihan itu dianggap sedekah semata-mata. 

Korban Bagi Orang Yang Sudah Meninggal Dunia

 Tidak harus bagi ahli waris mahupun orang lain melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang dilakukan melainkan jika orang  yang telah meninggal dunia itu pernah mewasiatkan sedemikian. 

Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si mati, maka dia tidak boleh memakan daging tersebut dan juga tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika ada keizinan awal daripada si mati. Oleh yang demikian daging tersebut wajib diagihkan kesemuanya kepada fakir miskin. Begitulah penjelasan mengenai hukum melakukan korban bagi orang lain, sama ada orang tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Apa yang jelas, seseorang yang ingin melakukan korban bagi orang lain perlu meminta keizinan terlebih dahulu daripada yang empunya diri atau dengan adanya  wasiat yang ditinggalkan untuknya. Jika dilakukannya juga tanpa ada keizinan atau wasiat, maka korban tersebut tidak sah. 

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA..SELAMAT MENJALANI IBADAH KORBAN~~

No comments:

Post a Comment