Text bergerak

Untuk Pelawat Baru, Sila ke Facebook Ustazah Ani untuk membincang sekiranya tiada maklumbalas di ruangan Blog ini Terima Kasih.

Saturday 24 November 2012

AKU TIDAK SEMPURNA



BY USTAZAH ANI

(Ustazah share dari sahabat Ahmad Fathi)


Saya tidaklah sempurna, tapi itulah saya.

Saya pernah mengambil keputusan yang silap dan membuat pilihan yang salah, tapi itulah saya.

Saya pernah berkata perkara yang salah, dan berkata perkara yang betul, tapi itulah saya.

Bukan semua yang pernah dilakukan oleh sendiri disukai saya, tapi saya tetap melakukannya kerana itulah saya.

Saya pernah tersilap memilih kawan dan tersalah mempercayai orang, tapi itulah saya.

Jika saya diberi peluang untuk melakukannya semula, saya tetap memilih pengajaran yang sama yang sudah ditentukan Allah, kenapa?

Kerana itulah saya.

Terdapat banyak kebaikan pada saya, anda hanya perlu melihat di sebalik ketidak-sempurnaan ini untuk melihat keistimewaan saya.

Jika anda tidak dapat melakukannya, anda yang rugi dan bukannya saya.

Saya telah menjadi saya yang terbaik. Itulah saya.

Kata-kata di atas diharap dapat menjadi pengubat kepada orang yang hati dan keyakinannya diluka oleh kata-kata yang tidak sedap didengar dan menghina.

Sayangilah diri sendiri, sebagaimana Allah menyayangimu kerana anda adalah ciptaan Allah yang paling sempurna.

Jangan sesekali menyimpan dendam, dendam adalah perkara paling berat di dunia ini. Antara petua untuk hidup bergembira dan panjang ialah memaafkan segalanya yang berlaku setiap hari sebelum tidur dan jangan mengharap apa-apa balasan daripada sesiapa dan apa-apa untuk apa yang telah dilakukan.

Berkebajikan dan kemaafan ialah sifat-sifat terpuji yang pulangan amat berlumayan iaitu minda yang tenang dan kebahagiaan.

Sudahkah meletakkan gelas air anda?

Senyum.

SOMBONG!!!!!

BY USTAZAH ANI




Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan masuk syurga, siapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah kesombongan."

Maka seseorang berkata:

"Bagaimana dengan seseorang yang suka memakai baju dan selipar yang cantik?"

Maka berkata Rasulullah:

"Sesungguhnya Allah itu maha indah dan cinta pada keindahan (maksudnya, pakaian indah tidak selalu bererti kesombongan). Alkibr (kesombongan) itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah remeh orang lain."
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak ditegur Allah, tidak disucikan, dah tidak diperhatikanNya kelak di hari kiamat, dan mendapat seksa yang pedih iaitu: orang tua yang tetap berzina, penguasa (pemimpin) yang dusta, dan fakir yang sombong." -
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa merasa dirinya besar, atau angkuh dalam berjalan, dia akan berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya."

(Hadis riwayat Muslim)

Imam Al Ghazali berkata ; 
"Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan keras dan kasar." 

Orang yang sombong atau takabur ini mudah menghina orang lain dan akan marah jika ada yang mengatasinya ia akan dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandingnya. 






AlSurah al-Qashash; ayat 83; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Negeri Akhirat itu (kebahagiannya dan keni'matannya) Kami jadikan untuk
orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di
muka bumi."

Surah Luqman; ayat 18; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri."

Hati-hati dengan sifat sombong ini kerana segala nikmat dan kelebihan di dunia ini tidak ada apa-apa nilai di sisi Allah swt melainkan iman dan taqwa sahaja yang membezakan antara kita. Sifat sombong adalah sifat yang keji dan kotor. 

Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takabur atau sombong ini. 

  • Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.
  • Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.
  • Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.
  • Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.
  • Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, jangan lah anggap kita mulia atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.
  • Apabila berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan kita ini sejak lahir sudah islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.
Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri. Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan makhluk seluruhnya. 

Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah; 

"Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai yang di bumi ke tujuh." 

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA~~

CARA ELAK GANGGUAN SYAITAN DALAM RUMAH TANGGA

BY USTAZAH ANI


Keluarga Bahagia

Setiap Muslim hendaklah mengawal rumah tangganya daripada gangguan syaitan dan iblis. Antara cara untuk memelihara rumah tangga daripada gangguan syaitan adalah:

1. Membaca al-Quran. Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala membawa berkat dan menyelamatkan penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan. Zikir ketika masuk dan keluar rumah. Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:"Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga." - (Riwayat Abu Daud).

2. Memberi salam kepada keluarga dan ahli rumah.Firman Allah bermaksud: "Maka apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik." - (Surah an-Nur, ayat 61).Imam an-Nawawi berkata: "Disukai untuk mengucapkan salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah itu ada orang atau pun tidak."Rumah yang tiada penghuni perlu juga diberi salam, sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi salam dijamin Allah keselamatannya.

3. Zikir ketika makan dan minum. Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:"Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: "Aku tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: "Aku boleh menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: "Aku boleh bermalam dan makan malam." - (Riwayat Muslim).

4. Membersihkan rumah daripada gambar patung. Islam melarang segala bentuk gambar patung disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada gambar patung atau tanda salib dalamnya. Diriwayatkan daripada Aisyah bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah melihatnya, Baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya.

 Maka, diketahui daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: "Ya Rasulullah, akubertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosakuBaginda bersabda: "Bagaimana keadaan bantal kecil ini?" Aisyah menjawab: "Aku sudah membelinya untuk engkau duduk padanya dan bersandar." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dandikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu."

Imam Nawawi berkata, jika hendak membuat juga gambar itu, maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya. Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.

5. Membanyakkan solat sunat di rumah. Solat yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke rumah.Rasulullah bersabda maksudnya: "Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur."- (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).

Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat sunat di rumah. Rasulullah selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum solat fardu di masjid seperti sabdanya bermaksud: "Wahai manusia, solatlah kamu (sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdal adalah di rumahnya kecuali solat wajib." - (Riwayat Nasai').

6. Harmonikan rumahtangga. Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsana diatas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu." - (Riwayat Muslim dan Nawawi). Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni, ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada gangguan syaitan dan konconya.

7. Bentengkan anak daripada gangguan syaitan. Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir pada waktu jimak bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan dari awal lagi. Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri, hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: "Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu selama-lamanya." - (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).

Daripada Abi Rafi' bahawa beliau melihat Rasulullah mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan sihat. -(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian ucapkan doa bermaksud: "Aku memohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman berbahaya serta daripadasemua mata yang jahat.

Rasulullah saw memohon perlindungan kepada Allah dengan doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan: "Sesungguhnya bapa kamu berdua memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak." - (Riwayat Bukhari dan at-Tirmizi).

SEKADAR RENUNGAN DAN ILMU UNTUK DIAMALKAN..

Terima Kasih kerana sudi membaca~~

Monday 19 November 2012

HATI OH HATI!! (bhgn 1)


BY USTAZAH ANI
Pokok pun berzikir pada Allah Taala

ORANG YANG CERDAS ADALAH YANG BERFIKIR SETIAP KALI BERZIKIR, DAN BERZIKIR SETIAP KALI BERFIKIR. DENGAN DEMIKIAN JIWA MEREKA BERSIH, SEHINGGA SEMUA UCAPAN YANG KELUAR DARI LIDAH, PASTI MENGUNDANG HIKMAH
Hassan al Bashri

WAH! Hebat sungguh ya orang-orang seperti ini. Berzikir sambil berfikir dan berfikir sambil berzikir. Mereka ialah orang-orang yang sentiasa mengingati Allah Taala. Sehinggakan apa yang keluar dari lidah mereka adalah yang datang dari hati nurani yang bersih.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Tuhan seluruh manusia yang terdahulu hinggalah sekarang dan yang akan datang.

Selawat dan salam buat pemimpin para Nabi dan Rasul, Muhammad bin Abdullah dan para sahabatnya serta yang mengikuti jalan Baginda sehingga ke hari akhirat, amin.
Setiap dari kita ingin untuk menjadi manusia yang baik yang dicintai oleh Allah, diredhai oleh Allah swt. Tidak ada yang mahukan untuk menjadi sebaliknya. Semua orang mahu solat yang khusyuk, bangun di tengah malam dengan bermunajat serta menumpahkan air matanya kerana Allah swt, ,mahu bersedekah dengan tangan kanan yang mana tangan kirinya tidak mengetahui nilai sedekah itu, mahu banyak sekali berdoa, berzikir, mahu memaafkan saudaranya yang telah menganiyanya, mahu mengikat silaturrahim dengan yang memusuhinya, mahu memberi kepada yang tidak mahu memberi  padanya, mahu mengadap Allah Taala dengan hati yang bersih dan mahu segalanya terbaik untuk Allah Taala.

Tetapi kenapa setiap kali kita mahu melakukannya, berusaha untuk meneruskan niat yang baik itu, ianya sangat susah dan sulit sekali???? Baru sahaja  hendak memulai solat hati sudah bergetak-getak mengingatkan perkara-perkara yang langsung tidak ada kena mengena dengan solat. Mahu bersedekah sudah mula merasa bakhil, mahu membaca al Quran sahaja hati sudah jauh dari ayat-ayat Allah Taala. Begitulah kita selalu menyedari apa yang berlaku pada diri kita, namun tidak mampu mengubatinya. Adakah tidak ada iman di dalam hati kita??? Tahu penyakitnya tetapi tidak mampu minum ubatnya. Lantas kenapa iman yang ada di dalam hati kita langsung tidak berperanan untuk terus menjadikan kita ini orang yang baik. Hendak gerakkan hati untuk menutup aurat sahaja kita masih berkira-kira. Untuk menuntut ilmu jugak masih sayangkan masa kita.

Apakah selama ini Rasulullah saw dan para sahabat serta para ulama salaf dan khalaf yang telah berabad-abad lamanya tidak member apa-apa makna didalam tindak tanduk dan pengorbanan mereka di dalam merubah diri kita menjadi lebih baik….

Ini adalah kerana adanya mata rantai yang terputus diantara aqal dan hati kita. Aqal yang berperanan sebagai membaca, mendengar, dan merasa yakin dengan ilmu yang serta member isyarat kepada hati. Namun hati tidak mampu mengarahkan segala anggota tubuh untuk memainkan peranan tersebut. MENGAPA??????

TERTAWAN KEPADA HAWA NAFSU DAN CINTA DUNIA, SERTA TERIKAT DI BUMI DAN TERKEKANG OLEH SYAHWAT…

KITA HARUS MEMBEBASKAN KEHENDAK KITA DAN MEMBERSIHKAN HATI DARI BELENGGU KEKUASAAN HAWA NAFSU SERTA MENYERAHKAN KEPADA ALLAH SUBHANAHU WATAALA.




SOLAT TAHAJJUD


BY USTAZAH ANI




1. Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda  Nabi s.a.w.
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
Maksudnya:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis riwayat Imam Muslim
2. Imam al-Thabari berkata: “Tahajjud adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu.”… Ibnu Faris berkata: “Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari.” Sedangkan al-Kurra’ menyatakan: “Tahajjud adalah solat malam secara khusus.”
3. Dalil Solat Tahajjud ialah dari al Quran yang bermaksud
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa’ (17) : 79
4. Dalil daripada Hadis Nabi Muhammad sa.w. ialah
Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari
5. Berapakah bilangan rakaat solat tahajjud?
Dalil Hadis:
Maksudnya:
Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari
Ini bermakna, kalau kita tidak sempat hendak buat solat Tahajjud dua rakaat kerana kesuntukkan masa (akibat terjaga lambat) boleh lah diteruskan dengan solat Witir satu rakaat. Namun rakaat yang terbaik ialah tidak melebihi 11 atau 13 rakaat seperti yg biasa dilakukan oleh Baginda.

6. Waktu yang paling afdal ialah selepas Isyak iaitu selepas kita tidur sebentar. Dan adalah afdal melambat-lambatkan solat Tahajjud.
7.Kelebihan Melakukan Solat Tahajjud
1.   Di tempatkan di akhirat nanti di tempat yang terpuji.
2.   Mendapat keredhaan daripada AllahSubhanahu wa Ta‘ ala.
 3. Dapat mendekatkan diri kepada AllahTa‘ala.
 4. Dikabulkan doa dan permohonan serta diampunkan dosanya.
 5. Terhindar daripada segala penyakit tubuh badan dan mncegah daripada    melakukan dosa dan       kejahatan.
 6.  Dijanjikan masuk syurga dengan selamat sejahtera.
 7.  Mendapat syafa‘at baginya dan ahli keluarganya.
 8.  Dijadikan orang yang bijaksana dengan dikurniakan pengetahuan  yang tinggi.
  9. Dibangkitkan daripada kubur dengan wajahnya yang putih bercahaya.
 10.  Diringankan hisabnya.
  11. Dipermudahkan baginya meniti shirat (jambatan) seperti kilat.
  12. Diberi buku amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak
8. Cara melaksanakan Solat Tahajjud
Niat: Sahaja Aku solat sunat Tahajjud 2 rakaat kerana Allah Taala
Bacaan ketika solat sunat tahajjud itu:
Pada rakaat pertama baca surah Fatihah dan Surah Alkafirun atau surah2 lain yg anda tahu kerana iainya tidak ditetapkan.
Dan pada rakaat kedua selepas Surah Fatihah bacalah surah Al-Ikhlas
selepas selesai solat bacalah doa yg khusus jika kita tidak tahu kita bacalah apa2 sahaja doa yang kita tahu atau mintalah apa sahaja hajat atau permintaan dalam bahasa kita sendiri.
9. Boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun mampu berdiri, namun pahalanya adalah separuh darpada berdiri..

Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18)
MARILAH KITA MENGADU KEPADA ALLAH TAALA DI KALA SEMUA ORANG TIDUR DI BUAI MIMPI. INI TENTUNYA TIDAK RAMAI YANG BERTEMU DENGAN ALLAH DI KALA ITU. MENGAPA PERLU MENGADU PADA MANUSIA. ALLAH TAALA LAH YANG LAYAK ATAS SEGALA PENGADUAN.