Text bergerak

Untuk Pelawat Baru, Sila ke Facebook Ustazah Ani untuk membincang sekiranya tiada maklumbalas di ruangan Blog ini Terima Kasih.

Wednesday 27 March 2013

Solat Jamak Taqdim

USTAZAH ANI~~




Solat Jamak

Erti Musafir- Orang yang berjalan / mengembara, samada berjalan kaki, berkenderaan melalui daratan, lautan mahupun udara. Dalam Islam ada beberapa hukum yang berkaitan dengan musafir. Antaranya adalah di 'HARUSKAN' Qasar dan Jamak solat, Menyapu Khuf(sejenis kasut yg tertentu)dan berbuka puasa di bulan Ramadhan.

Bagi orang musafir yang jauh perjalanannya tidak kurang daripada dua marhalah dan tidak bertujuan maksiat dengan perjalanan itu, harus dijamakkan (dihimpunkan antara zohor dan Asar dan diantara solat Maghrib dan Isyak, samada dengan cara Jamak Taqdim / Jamak Takhir.

Dalil Harus Jamak Taqdim ialah dari hadis yang sohih yang bermaksud:

Bahawasanya Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan dalam peperangan Tabuk. Apabila Baginda hendak berangkat lepas Maghrib, Baginda segerakan solat Isyak lalu Baginda solat Isyak bersama Maghrib. (Riwayat Al Tirmizi)

Dalil Harus Jamak Takhir dari hadis yang sohih yang bermaksud:

Anas berkata: " Baginda Rasululllah s.a.w. apabila hendak berangkat sebelum gelincir matahari, Baginda takhirkan (kemudian) Zohor kepada waktu Asar, Kemudian Baginda turun berhenti menjamakkan keduanya (Zhor dan Asar). Maka jika matahari sudah gelincir sebelum berangkat, Baginda solat Zohor dahulu, kemudian barulah Baginda menaiki kenderaan " (Riwayat Bukhori & Muslim)

Solat jamak ada dua jenis:

1.     Jamak Taqdim
2.     Jamak Taakhir

Ada dua regu solat yang boleh dijamakkan iaitu:

1.     Zohor dan Asar
2.     Maghrib dan Isyak 

Jamak Taqdim

Ertinya menghimpunkan solat fardu Asar ke waktu fardu Zohor.Ketika waktu Asar tidak dilakukan sebarang solat. Kerana solat sudah dilakukan pada waktu Zohor dengan menghimpunkan serentak solat Zohor dan Asar.

ATAU

Menghimpunkan solat fardu Isyak ke waktu solat fardu Maghrib. Ketika waktu Isyak tidak dilakukan sebarang solat. Kerana solat sudah dilakukan pada waktu Maghrib dengan menghimpunkan serentak solat Maghrib dan Isyak.




Syarat-syarat SAH solat Jamak Taqdim

1. Mesti mendahului solat yang empunya waktu (Zohor atau Maghrib) kerana solat kedua itu  (Asar atau Isyak) adalah mengikut yang pertama. Tidak harus solat yang kedua itu mendahului solat yang pertama. Maka jika didahulukan iaitu solat Asar sebelum Zohor atau Isyak sebelum Maghrib nescaya tidak sah solat Asar dan Isyak dan hendaklah di ulang semula jika dia berkehendakkan solat Jamak. Bermaksud hendaklah dia ulang semula solat Asar selepas Zohor dan ulang solat Isyak selepas Maghrib dengan segera (jika mahu meneruskan solat Jamak Taqdim). Sebab jika di teruskan berkeadaan solat Asar sebelum Zohor dan solat Isyak sebelum Maghrib, kemudian ternyata batal solat empunya waktu (Zohor atau Maghrib), nescaya turut terbatal solat yg kedua jugak.

2. Hendaklah diniatkan 'jamak' dalam masa solat yang empunya waktu (Zohor/Maghrib) pada mana-mana juzuk solat itu sehingga setakat sampai salam pertama. Tetapi disertakan niat didalam takbiratul Ihram adalah lebih afdal.

cth lafaz niat solat Zohor/Maghrib Qasar serta Jamak Taqdim:

Sahaja aku solat fardu Zohor/Maghrib dua rakaat qasar dihimpunkan dengan fardu Asar tunai kerana Allah Taala. (niat didlm  takbiratul Ihram atau mana2 tempat di dalam solat Zohor/Maghrib sehingga sebelum memberi salam)

Pada ketika selesai memberi salam pada solat Zohor dan bangun untuk solat Asar maka. niatnya ialah

cth niat solat Asar/Isyak Qasar serta Jamak Taqdim

Sahaja aku solat fardu Asar/Isyak dua rakaat qasar dihimpunkan kepada fardu  Zohor/Maghrib tunai kerana Allah Taala.

Boleh juga niat 'Shj aku solat fardu Asar 2 rakkaat qasar kerana Allah Taala'..tidak perlu niat jamak kerana sudah niat didalam waktu Zohor.

3. Hendaklah Muwalatun, ertinya berturut-turut antara dua solat itu, jangan ada perceraian yang panjang pada uruf(adat) walaupun dengan sebab keuzuran, seperti lupa atau pitam yang lama. Maksud perceraian yang pendek itu ialah tidak sempat melakukan solat 2 rakaat.Maka azan, iqamah, berwuduk atau bertayamum adalah tidak mengapa. Oleh itu hendaklah ditinggalkan solat rawatib diantara kedua-dua solat itu. Solat Jamak Taqdim wajib muwalatun..ini bermakna selepas solat Zohor dan memberi salam kena bangun dan melakukan solat Asar dengan segera. Perceraian masa yang lama akan membatalkan solat jamak dan wajib di ulang semula.

* Sambungan perbincangan solat Jamak dan solat Qasar akan diteruskan pada masa akan datang. Sekiranya tidak faham bolehlah diajukan soalan..Insya Allah

No comments:

Post a Comment