Text bergerak

Untuk Pelawat Baru, Sila ke Facebook Ustazah Ani untuk membincang sekiranya tiada maklumbalas di ruangan Blog ini Terima Kasih.

Thursday 29 November 2012

ILMU FIQAH

BY USTAZAH ANI


Assalamualaikum sahabat-sahabat ustazah yang disayangi kerana Allah Taala, semoga semuanya berada di dalam keadaan yang baik-baik dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ustazah doakan semoga kita semua diberikan hidayah dari Allah sepanjang masa. Sekiranya kita ikhlas untuk berada di atas jalan yang benar pastinya Allah SWT akan memberikan hidayah itu berterusan kepada kita. Insya ALLAH.

Dalam bab pelajaran kita hari ini ustazah ingin mengupas bab menuntut ilmu fardu ain yang wajib bagi setiap mukallaf. Fardu yang dimaksudkan disini ialah 'Fardu Ain' yang mana ianya tuntutan wajib ke atas individu mukallaf dengan tuntutan secara putus (jazim) seperti menuntut ilmu, sembahyang, puasa, haji dan lain-lain. Ianya tidak memadai dengan hanya didirikan oleh sebahagian mukallaf tanpa sebahagian yang lain. 

Malangnya kebanyakkan dari orang-orang Islam hari ini masih melengah-lengahkan tuntutan fardu ain ini. Berdasarkan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, menuntut Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mengamalkannya adalah FARDHU AIN atas setiap mukallaf lelaki dan wanita. 


Ilmu Fiqh adalah berkaitan perlakuan-perlakuan serta ibadah-ibadah serta muamalah zahir.
Ilmu Tauhid adalah berkaitan keimanan dan kepercayaan kepada Allah dan segala yang Ghaib. MENGENAL ALLAH DENGAN CARA MEMPELAJARI ILMU AQIDAH.
Ilmu Tasawwuf adalah berkaitan penyucian hati, aqal dan ruh daripada segala kekotoran yang berunsur nafsu, dunia dan syaitan.



Bagi kesempatan ini ustazah hendak membincangkan ilmu berkenaan FIQAH. Apakah makna Fiqah? Fiqah mempunyai dua makna. Yang pertama ialah kita melihat Fiqah di sudut makna bahasa iaitu bermaksud FAHAM. Manakala makna di sudut istilah dapat dipecahkan kepada dua bahagian:

PERTAMA

Mengetahui hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan orang-orang mukallaf diambil daripada dalil-dalil yang nyata dan jelas iaitu al Quran, as Sunnah dan pecahan daripada keduanya seperti ijmak dan ijtihad. Ini bermakna jika kita mempelajari ilmu Fiqah ertinya kita belajar berkaitan dengan apa-apa sahaja hukum yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan yang bersumberkan kepada dalil-dalil yang sahih. Tidak ada hukum-hukum yang direka-reka oleh ulamak. Pastinya segalanya datang dari sumber-sumber yang jelas dan nyata,. 

Contohnya jika kita mengetahui bahawa NIAT ketika berwudhuk itu adalah WAJIB. Maka ianya adalah kerana di sana ada dalil yang datang dari Rasulullah saw sndiri di dalam satu hadis yang bermaksud:

(( Sesungguhnya segala amalan itu hanya (dikira) dengan niat )) H.R Bukhari dan Muslim.

Contoh lagi seperti kita tahu bahawa sembahyang selepas Asar itu adalah MAKHRUH. ini adalah kerana berdalilkan larangan Rasulullah saw daripada melakukan sembahyang selepas selesai sembahyang Asar sehingga terbenam matahari sebagaiman diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. 

Kesimpulannya: Dari makna Fiqah pada bahagian pertama ialah SEMUA HUKUM-HUKUM SYARAK YANG KITA KETAHUI DI ATAS ( Yang berdasarkan kepada dalil-dalil al Quran dan as Sunnah) dinamakan dengan fiqah dari segi bahasa.

KEDUA

Hukum-hukum syarak itu sendiri. Oleh itu apabila kita berkata : Anda mempelajari Fiqah. Ia bermakna anda mempelajari HUKUM SYARAK yang ada dalam kitab-kitab fiqah yang bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah, ijmak ulama' dan ijtihad mereka. 

Contohnya: Hukum-hukum mengambil air sembahyang, hukum-hukum jual-beli, hukum-hukum perkahwinan dan penyusuan, hukum-hukum perang dan jihad, dan lain-lain. 

KESEMUA HUKUM-HUKUM SYARAK INI DINAMAKAN DENGAN FIQAH DI SUDUT ISTILAH. 

Istilah pertama digunakan pada ' mengetahui hukum hakam' dan istilah kedua digunakan pada ' hukum-hukum syarak itu sendiri.

Semoga kefahaman kita terhadap makna ilmu Fiqah ini akan lebih mendalam dan kita akan sambung lagi mempelajari ilmu fiqah yang termasuk di dalam ilmu-ilmu fardu ain yang menjadi kewajipan untuk kita mempelajarinya di masa-masa akan datang. Jangan lupa terus ikuti blog ustazah bagi menyambung pelajaran fardu ain kita ya.insya ALLAH

Monday 26 November 2012

SOLAT ISTIKHARAH

BY USTAZAH ANI





Assalamualaikum
Ramai yang selalu mengamalkan solat sunat Istikharah, namun ada di antara kita yang masih samar-samar bagaimanakah hendak melakukan solat ini dan info berkenaan solat Istikharah.

Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan. Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa, keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan keburukannya.

Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya. Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.
Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut



Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah ‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Tata Cara Shalat Istikharah

Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun tidur. Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk dalam mengemukakan permohonan kepada Allah. Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai azan atau iqamah.
Lafaz niat:-

Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala
Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala

Rakaat pertama-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun

Rakaat kedua-
Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas

Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah.
Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. misalnya: “Ya Allah, jika hal ini….(sebutkan namanya)”

Doa Solat Istikharah Ulang 7x