![]() |
Keluarga Bahagia |
Setiap Muslim hendaklah mengawal rumah tangganya daripada
gangguan syaitan dan iblis. Antara cara untuk memelihara rumah tangga daripada
gangguan syaitan adalah:
1. Membaca al-Quran.
Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca
al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala membawa berkat dan menyelamatkan
penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan. Zikir ketika masuk dan keluar rumah. Daripada Abu Malik al-Asyaari
bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:"Apabila seorang hendak masuk ke
dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau
sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami
masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami
menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga." - (Riwayat
Abu Daud).
2. Memberi salam
kepada keluarga dan ahli rumah.Firman Allah bermaksud: "Maka
apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi
salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri,
salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik."
- (Surah an-Nur, ayat 61).Imam an-Nawawi berkata: "Disukai untuk mengucapkan
salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah
itu ada orang atau pun tidak."Rumah yang tiada penghuni perlu juga
diberi salam, sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai
penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi
salam dijamin Allah keselamatannya.
3. Zikir ketika
makan dan minum. Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah
SAW bersabda maksudnya:"Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir
kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: "Aku
tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak
berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: "Aku boleh
menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: "Aku
boleh bermalam dan makan malam." - (Riwayat Muslim).
4. Membersihkan
rumah daripada gambar patung. Islam melarang segala bentuk gambar patung
disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang
ada gambar patung atau tanda salib dalamnya. Diriwayatkan daripada Aisyah
bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah
melihatnya, Baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya.
Maka, diketahui
daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: "Ya
Rasulullah, akubertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosaku? Baginda bersabda: "Bagaimana keadaan bantal kecil
ini?" Aisyah menjawab: "Aku sudah membelinya untuk engkau
duduk padanya dan bersandar." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya
orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dandikatakan kepada
mereka: Hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu."
Imam Nawawi berkata, jika hendak membuat juga gambar itu,
maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya.
Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.
5. Membanyakkan solat sunat di rumah. Solat
yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke
rumah.Rasulullah bersabda maksudnya: "Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan
janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur."- (Riwayat
Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat
sunat di rumah. Rasulullah selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum
solat fardu di masjid seperti sabdanya bermaksud: "Wahai manusia, solatlah kamu
(sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdal
adalah di rumahnya kecuali solat wajib." - (Riwayat Nasai').
6. Harmonikan
rumahtangga. Sabda Rasulullah bermaksud: "Sesungguhnya iblis
meletakkan singgahsana diatas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang
paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar
membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa
tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah
dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu." -
(Riwayat Muslim dan Nawawi). Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni,
ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada
gangguan syaitan dan konconya.
7. Bentengkan anak
daripada gangguan syaitan. Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir
pada waktu jimak bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan
dari awal lagi. Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: "Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri,
hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: "Ya
Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang
Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka
berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu
selama-lamanya." - (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).
Daripada Abi Rafi' bahawa beliau melihat Rasulullah
mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan
sihat. -(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).
Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian
ucapkan doa bermaksud: "Aku memohon perlindungan untuk kamu dengan
kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman
berbahaya serta daripadasemua mata yang jahat.
Rasulullah saw memohon perlindungan kepada Allah dengan
doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan: "Sesungguhnya bapa kamu berdua
memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak."
- (Riwayat Bukhari dan at-Tirmizi).
SEKADAR RENUNGAN DAN ILMU UNTUK DIAMALKAN..
Terima Kasih kerana sudi membaca~~
No comments:
Post a Comment